:
Setelah memberhentikan admin terakhir, Salim pada Julai 2025; barulah pengaliran tunai AZZ ini menjadi sedikit lega.
Ini bukanlah kerananya — tapi harus menerima kenyataan yang jualan bisnes online semakin kecil.
Seterusnya — aku kembali mengajar dengan lebih banyak kelas.
Kini aku hanya mengajar kelas Addmath Tingkatan 4 untuk AZZ — tapi bermula tahun depan (2026) — aku akan tambah lagi beberapa kelas:
- Addmath Tingkatan 5
- Matematik Tingkatan 1
- Matematik Tingkatan 3
Lama juga aku fikirkan ini; umpama menelan ludah sendiri, kerana aku impikan persaraan sepenuh masa.
Tapi kini semakin jelas.
① Utopia 2
3 tahun lepas, ketika bisnes ku sedang memuncak, aku sudah ‘hampir bersara’ sepenuhnya; ada 2 admin dan 7 tutor, cukup untuk menjalankan operasi tuisyen ini.
Aku hanya ‘kira duit’ (aka akauntan) pada malam hari.
Ini adalah Utopia 1: bersara sepenuhnya.
Kini, sepertimana aku ceritakan sebelum ini, ini tidak akan menjadi kenyataan kerana jualan merundum;
Aku seorang admin, dan kini mula mengajar dan merancang untuk mengambil lebih banyak kelas tahun depan.
Inilah yang aku namakan sebagai Utopia 2.
Kenapa?
Utopia 2 adalah keadaan kedua terbaik; aku masih bekerja, tapi online sepenuhnya.
Aku akan jadi admin Front-Desk, Back-End, serta Pengurus sekali, di samping mengajar online kelas beramai-ramai.
Asalkan — Akademi 22 mencapai keuntungan!
Tak banyak seperti dulu, tapi yang penting pengaliran tunai adalah positif!
Tinggal di sini (Ipoh) adalah idaman;
Apa sangatlah jika harus bekerja lebih sedikit — inipun online dan masa bebas, membangunkan bisnes perlahan-lahan kembali.
Aku syukuri ini — masih Utopia (2) bagi aku.
Umpama reset.
Balik Ke Permulaan (dengan Nilai Tambah)
Walaupun masih ada beberapa Tutor (untuk M3, M4 dan M5), aku masih mengajar lagi separuh kelas dan kendalikan admin sepenuhnya — umpama aku baru memulakan bisnes ini.
Aku mengecilkan operasi sepertimana 9 bulan pertama dulu.
Yang berbeza:
- ada sedikit modal
- reputasi
- pengalaman
Tapi aku mahu tambah ini — Pembinaan Konten
Kelemahan Utama: Tiada Konten
Aku akui, inilah kelemahan utama aku — langsung tiada presens di media sosial.
Sebagai salah satu penyedia servis komoditi (tuisyen) ini, pembinaan konten adalah salah satu cara untuk membezakan diri kita dengan yang lain.
Oleh kerana aku cuai TIDAK melakukan dari awal —
ia meningkatkan kos pengiklanan ku!
Bagaimana Pembinaan Konten Boleh Membantu?
Bingung juga memikirkan untuk siapa mulanya, tapi aku jumpa juga untuk siapa — pelajar dan ibubapa yang sedang belajar dengan kami.
Pembinaan konten adalah seni yang sangat kekok untuk aku lakukan, kerana aku adalah pemalu-kamera.
Kerana itu aku tak pernah lakukannya sebelum ini.
Ku sangkakan pengiklanan sudah mencukupi.
Tapi pada zaman media sosial sekarang — tanpa konten, anda dianggap TIDAK WUJUD.
Masa terbaik untuk mulakan ini adalah pada awal bisnes —
Masa kedua terbaik adalah sekarang.
Ambil Masa Untuk Bina Reputasi
Semestinya, membina konten adalah untuk membina reputasi — ia mengambil masa.
Perancangan aku:
Buat konten baru secara konsisten setiap minggu — dan harapkan ia membuahkan hasil dalam 3–4 tahun.
Aku mahu mengurangkan kebergantungan kepada pengiklanan Facebook semata — yang semakin ramai pesaing, dan menjadikannya lebih mahal.
Aku tak tahu bagaimana hasilnya secara spesifik —
Yang pasti, ini adalah arah yang aku harus terokai.
Ringkasan
- Kurangkan kos tetap (overhead)
- Hubungi prospek lama secara konsisten
- Teruskan pembinaan konten!