Saya sangkakan boleh bersara sepenuhnya sejak April 2022, tetapi ketidaktentuan bisnes Akademi ZZ menjadikan saya terpaksa kembali mengajar.
Ketika itu (April 2022) adalah kemuncak bisnes tuisyen online dek kerana PKP. Margin keuntungan yang gemuk membolehkan saya mengambil gaji (buta) sebagai pengarah Syarikat.
Kini tak boleh lagi .
Margin keuntungan yang semakin halus ; saya tidak boleh lagi mengambil gaji buta tersebut.
Kelas Online Personal
Tetapi saya tidaklah mengambil kembali tugasan mengajar di Akademi ZZ – ini masih dilakukan oleh 6 tutor seperti sebelum ini – saya mencipta tugasan baru , iaitu kelas online secara personal.
Bagaimana tercetus idea ini ?
1 – Permintaan Yang Banyak
Dalam pengiklanan Akademi ZZ , ada sekitar 9% ibubapa mencari tutor personal. Sebelum ini, saya ada lakukan bisnes agensi tuisyen, iaitu mencari tutor lain untuk mereka ini dan meraih komisen.
Tapi saya tutup agensi ini kerana i) renyah untuk diuruskan, serta ii) pendapatannya tidak memadai (sebahagian besar adalah untuk tutor).
Jadi, bila saya sendiri ada keinginan untuk mengajar , saya pakai saja platform yang sudah dibina di tempah.akademizz.com ini.
Dalam 2-3 bulan saja, 50% slot saya sudah ditempah (bermula dari sifar). Saya jangkakan
slot akan penuh dalam beberapa bulan lagi .
Jika saya tidak lakukan ini (mengajar personal) – prospek ini akan ‘terbuang’ begitu saja. Rugi saja buat iklan.
Jadi saya hanya memenuhi permintaan saja.
2 – Mengurangkan Beban Akademi ZZ
Sepertimana yang dinyatakan di atas, saya ada mengambil ‘gaji buta’ sebagai pengarah syarikat.
Ini 0K saja ketika zaman PKP (zaman bisnes lebat) – tapi kini bisnes tuisyen online tidak semeriah dulu (walau permintaan masih ada).
Jadi dengan melakukan tuisyen personal ini, dapatlah saya hidup dengan gaya hidup sama ; pada masa yang sama menyimpan keuntungan sihat untuk Syarikat.
3 – Perisian dan Gajet yg Tersedia
Saya punyai gajet yang tersedia – iPad dan Apple Pencil, serta perisian yang afdal juga ; Zoom (untuk kelas), Vittle Pro (papan putih), serta Classkick (periksa kerja pelajar).
Malahan saya terus boleh pakai aplikasi hubungan YesHello (milik Akademi ZZ) sebagai medium komunikasi dengan pelanggan.
Malahan, baru saja beli kerusi ergonomik – baru selesa duduk berjam-jam mengajar.
Semua barang dah ada – mahu atau tidak saja .
4 – Yuran Yang Memadai
Walaupun yuran tidak setinggi tuisyen bersemuka, tapi jika difaktorkan waktu perjalanan, sebenarnya lebih menjimatkan masa – kita boleh buat lebih banyak kelas dalam masa yang sama.
Contoh : kelas bersemuka kadarnya RM 80 sejam ; sekali kelas 2 jam, boleh dapat RM 160 .
Tapi jika dikira tempoh perjalanan sejam pergi – balik , saya hanya meraih RM 160/3 jam = RM 53 sejam .
Jika tuisyen online personal ; RM 70 sejam – tanpa penat memandu .
5 – Minat Mengajar yang Mendalam
Semestinya ; mengajar adalah karier saya sejak 20 tahun yang lalu . Setelah bersara selama 2 tahun, saya kembali mengajar.
Cuma berbeza kali ini , ia dilakukan secara online dengan hanya menggunakan ZOOM ; muka pelajar pun saya tak nampak – muka saya pun pelajar tak nampak.
Apapun saya tetap gembira mengajar dengan menghasilkan pendapatan hampir sama ketika pra – PKP (secara bersemuka) dengan haya duduk di kerusi ergonomik yang selesa di pejabat rumah.