Pengunduran Joe Branko dari Wings memang menyedihkan ; tetapi hubungan dingin daripada anggota Wings dengan Joe lebih menyedihkan.
Aku tak tahu apa terjadi antara mereka, nak buat spekulasi pun tak berani.
Tapi aku terkilan dengan anggota Wings seperti Awie, Eddie dan Black langsung tak mahu sebut nama Joe dalam temubual mereka (selepas keluarnya Joe).
Sedangkan Joe masih kool menyebut nama setiap seorang mereka, malahan siap doakan lagi mereka.
Aku mungkin bias kepada gitar hero ku ; aku dibesarkan dengan muzik mereka, jadi setiap perlakuan mereka menjadi perhatianku.
Bagi aku, bunyian Wings memang ada pada Joe ; sepertimana bunyian Search ada pada Kid dan Din.
Tanpa Joe, Wings umpama Awie dan band sesionis.
Perbandingan ini tidak dapat dielakkan, kerana lekatnya bunyi gitar Joe pada identiti Wings.
Pengaruh Wings Padaku
Baik cukuplah mengenai itu. Aku mahu membawa nostalgia zaman 1988 – 1998, ketika zaman remaja ku yang aktif bermain gitar, mencipta lagu, jamming dan menubuhkan band.
Juga sebagai gitaris kidal, aku sangat memahami cara permainan gitar Joe yang berbunyi ‘ kotor’ tapi sebenarnya kemas dan lazat.
Aku akan membicarakan secara kronologi bagaimana impak setiap albumnya di zaman itu, dan kaitan dengan ku.
Belenggu Irama (1987)
Trivia Menarik
– Awie berusia 18 tahun ketika ini.
– Nama Wings diasaskan hasil daripada ‘kepak’ Awie yang sasa.
– Pemain gitar adalah Syam, tetapi sesionis yang merakam adalah Opie.
– Opie, gitaris kidal adalah anggota band Scandals, dimana Joe juga anggotanya.
– Pemain bes adalah Eddie, adalah anggota Wings paling setia (tak pernah keluar band) sehingga kini.
– Pemain dram adalah Black, dan sesionis adalah Zahid (adik-beradik kepada Yazid Search).
– Lagu kegemaranku ; i) Intan Ku Kesepian, ii) Kota Kemusnahan, dan iii) Biarkan Berlalu.
– Wings pernah ‘digam’ (banned) oleh RTM kerana isu rambut panjang.
– Intro lagu ‘Dari Tuhan’ semacam intro “Fade to Black” (Metallica).
– Gitarisnya Syam terus keluar band sebaik saja album ini selesai pembikinan.
Hukum Karma – 1988
– Album pertama Joe bersama Wings.
– Ada ura-ura mengatakan Opie masih menjadi sesionis, tetapi dinafikan sendiri oleh Joe kepada aku.
– Joe mainkan gitar sepenuhnya dalam album ini. Mungkin kerana cara permainan gitar Joe masih dibayangi Opie, kedengaran sama (sama-sama kidal kan).
– Intro Misteri Mimpi Syakila (mungkin) diinspirasikan daripada intro ‘Always Somewhere’ (Scorpion).
– Juga petikan pertama aku belajar gitar (intro Syakilla). Diajar oleh ayah saudara ku, Uda Shamsul.
– menurut Awie, ‘Taman Rashidah Utama’ adalah ciptaan Eddie, tapi hanya dikredit sepenuhnya kepada penulis liriknya Bob Lokman. Tak pasti mengapa, tapi jika ini benar, agak jarang juga anggota Wings mencipta lagu sendiri, apatah lagi yang meletup.
– album ini melonjakkan nama Wings di persada muzik tanahair, saing-saing dengan Search yang meletup dengan Isabella (Fenomena) ketika ini.
Teori Domino – 1990
Ketika ini, nama Wings betul-betul naik di seluruh negara. Mendapat kedudukan tempat ke-2 dan ke-3 dalam kategori Persembahan Terbaik AJL 1989 memperkukuhkan namanya.
Album ini adalah susulan kepada peristiwa ini.
Trivia
– kesemua lagu dirakam di Kuching, Sarawak, kecuali ‘Sejati’ di Kings Studio, PJ.
– ‘Bujang Senang’ mungkin diinspirasikan di sana.
– ‘Sejati’ dirakamkan selepas selesainya rakaman semua lagu, dan labelnya BMG tidak berpuas hati kerana tiada lagu hit.
– M Nasir dikatakan hanya mengambil masa 20 minit untuk menciptakan ‘Sejati’ sepenuhnya.
– Trilogi rakam-terus ; ‘Insaf – Monalisa – Midnight Blues’ adalah dirakam terus umpama rakaman langsung (live).
– Kali ini, Wings memperolehi tempat pertama dalam persembahan terbaik AJL 1990 dengan lagu ‘Sejati’.
– setakat ini, 3 lagu terakhir dalam 3 album pertama ini adalah lagu berunsur ketuhanan ; i) Dari Tuhan [Belenggu Irama], Anugerah [Hukum Karma], dan Alam Barzakh [Teori Domino].
– Intro ‘Sejati’ adalah diinspirasikan daripada instrumen serunai dan gong.
Jerangkung Dalam Almari – 1991
Kelainan album ini berbanding album lain adalah, banyak lagu rock rancak (bukan balada) yang naik, seperti ‘Awang Trasher’, ‘Jerangkung Dalam Almari’, ‘Lipas Kudung’ serta lagu Blues Akustik (kegemaranku); ‘Dalam Kehadiran Sofiah’.
– album ini dirakam di Singapura.
– merupakan album kegemaran Awie, walaupun bukan pada bunyiannya.
– 80% lagu adalah ciptaan M Nasir.
– ‘Kau Bukan Brader’ adalah lagu yang memperkenalkan aku kepada harmonik tiruan (artificial harmonic), iaitu buat gitar ‘menjerit’.
Double Trouble – 1992
Bagi aku, walaupun Search adalah band nombor 1 Malaysia, Wings lebih menyerlah dalam album ini.
Lagu Wings lebih feel dan menjadi kegemaran Awie secara peribadi , seperti lagu ‘ Mabuk 7 Lautan’ serta ‘Gema Inderaloka’.
Kita sedia maklum, lagu hit Gemuruh adalah mengenai hubungan seks (atau penzinaan?), tapi dalam bahasa sastera tinggi. Aku tak tahu mengapa aku terbayangkan filem ‘Semerah Padi ‘ arahan P Ramlee.
Bazooka Penaka – 1993
Ini adalah album kegemaranku secara peribadi.
Setelah album terdahulu ; ‘Teori Domino’ dan ‘Jerangkung Dalam Almari’ adalah sub-par dari segi bunyian rakamannya (walaupun banyak lagu bagus), kini pengurusannya mengambil inisiatif untuk menerbitkan album yang lebih berkualiti, walaupun dengan harga yang lebih mahal.
Tapi ia memang padan dengan pencapaian Wings yang berjaya menjual ratusan ribu salinan albumnya!
– mungkin tak tepat, tapi saya ada terbaca yang ‘Penaka’ ini bermaksud ‘PENAmat KAta-kata!
– ‘Di Ambang Wati’ dan ‘Suara Kita’ adalah lagu runut bunyi untuk filem ‘Sembilu’ lakonan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, yang meletup ketika ini.
– ‘Bernafas Dalam Lumpur’ adalah lagu hit untuk album ini, merupakan lagu ciptaan anggota Wings secara bersama .
– ‘Pengabdian Ku Kekasih’ adalah lagu kegemaran ku secara peribadi.
– sebagai pemuzik, aku belajar kekunci A Major / F #m melalui lagu ‘Bernafas Dalam Lumpur’, dan kekunci C minor / D# Major dalam lagu ‘Suara Kita’
Wings & Superfriend – 1994/95
2 album berkembar ini diterbitkan selepas Awie mengejutkan ramai pihak ; pengunduran dari Wings. Aku sendiri berasa sedih dan pilu, mengenangkan betapa hebatnya Wings kerana adanya Awie.
Sekarang, Joe menjadi peneraju utama Wings, dimulakan dengan projek Wings & Superfriends ini .
Album ini, walaupun dikatakan kurang dapat sambutan, memberi impak kepada aku kerana ia menampilkan ramai penyanyi terkenal ; mempengaruhi aku untuk membuat projek Sajakiri, dimana karya ku sendiri menampilkan ramai penyanyi (amatur).
Album ini juga melihatkan ‘ indulgence ‘ daripada Joe sendiri yang juga sebagai penerbit , berkarya mengikut nalurinya sendiri ; ada lagu metal, pop pantai, instrumental dan sebagainya.
Bunyian album ini juga cukup baik dan ‘mahal’ ; hasil dari keuntungan yang dari jualan album sebelum ini.
Orang Asing – 1995
Album ini merupakan album Wings yang terakhir aku ikuti, sebelum aku ke arah barat ke Nirvana dan Metallica .
Agak mengejutkan juga, walaupun Mel tidak seperti Awie, tapi karakternya kuat dan tersendiri ; dengan serak basahnya yang unik.
Tapi sayangnya, Mel tidak kekal lama, katanya tidak cukup bersedia.
Selepas Mel ini, Mus (bekas vokalis May) menggantikannya.
Walaupun rock, tapi aku kurang gemar dengan tona Mus, agak kekampungan bagi selera aku.
Apapun, terimakasih pada Wings yang menemani zaman remaja ku.
Aku punyai impian untuk menemubual gitar hero ku ; Joe Wings .
Wings : Pilihan Ku
Dengar pilihan terbaru ku ; bercampur baur penyanyinya, seronok juga dengar haha.