Ini adalah artikel penghormatan kepada sahabatku, Ahmad Romizi Abdul Rashid. Beliau telah meninggalkan kita pada 25 Julai 2022.
Aku tak mahu menceritakan hidupnya terlalu terperinci, demi menghormati keluarganya.
Aku hanya mahu menceritakan detik-detik manis yang bermakna dalam hidup kami.
Tidak mengikut kronologi, ataupun kedudukan. Hanya apa yang terlintas di minda.
Al – Fatihah.
1 – Rakaman Dini Hari
Pada awal 2000, ketika Seksyen 13 masih sepi, Romi akan mengajak aku ke rumahnya di Jalan Dart, untuk merakamkan lagu ku.
Dengan perisian Cakewalk, dia merakamkan karya aku, dari lewat malam sehingga Subuh.
Sempat juga kami ke masjid berdekatan, hanya berjalan kaki, menunaikan solat subuh.
Nama masjid tersebut adalah Surau Al-Munawwarah Seksyen 13, dan merupakan masjid solat jenazah untuknya.
Berbalik kepada masa itu, aku yang ketika itu sedang kecewa dalam percintaan, karya itu menjadi luahan rasa ku.
Aku berasa sungguh senang hati dengan adanya sahabat yang sudi melayani ku saat duka ini.
2 – Mesin Perakam Tascam
Mesin Perakam Trek-Pelbagai yang ku beli di Dublin, telah dicuri dari rumah ku di Bukit Damansara.
Aku yang sedih, dipujuk oleh Romi dengan kata : “Mereka boleh curi barang kau, tapi mereka tak boleh curi karya dan bakat kau.”
Aku tak tahu mengapa aku ingat ayat ini, mungkin kerana ia sungguh bermakna dan menginspirasikan.
3 – Lagu Spontan – Ija
Romi juga sangat berbakat dalam nyanyian dan penciptaan lagu . Dengarkan bagaimana kami merakamkan lagu ini spontan, tak rancang apapun .
Nota : kami merakam ini pada awal 2000 , 10 tahun sebelum aku bertemu isteriku yang ku panggil Ija.
4 – Belanja Nasi Arab
Aku pernah berniat nak belanja dia nasi arab di Seksyen 7, tapi malangnya aku tak cukup tunai, akhirnya Romi yang belanja aku haha.
Masa itu kami sama-sama pokai.
5 – Di Manakah Abi
“Di Manakah Abi” adalah lagu terbaik ciptaannya, mengisahkan bagaimana seorang ibu menjawab persoalanan di manakah ayahnya menghilang.
Karya ini dicipta pada awal 2000, dengan liriknya ditulis oleh kenalan kami, Cpol.
Liriknya :
ummi dimanakah abi
bergetarlah bibir mencari
perlukah ku kisahkan
apa yang terjadi
pada sikecil yang ingin mengerti
sayang abi kekasih ummi
pergi mencari cinta ilahi
Dengarkan betapa kenanya lagu ini dengan nasib hidupnya (Romi meninggalkan 3 anak, semua sebaya dengan anak ku).
6 – Rindu Anaknya
Romi pernah bertandang ke rumah mak aku di USJ 2 untuk bertemu anak bongsu ku Elyas kerana terlalu rindukan anaknya (mereka tidak tinggal bersama).
Tika ini adalah sangat sayu untuk ku.
7 – Tiada Lagi Pendukungku
Romi selalu mengikuti perkembangan muzik ku , termasuk Projek Sajakiri ini. Malah dia pernah sertai juga komuniti ini.
Beliau adalah orang pertama yang aku beritahu jika ada lagu atau projek muzik terbaru. Romi selalu teruja dan bersemangat.
Kini, aku tiada lagi siapa lagi ku adukan bila ada karya baru.
Mungkin kebetulan, aku pun menjadi kurang berkarya sekarang ini.
8 – Ambil Gambar Seminar
Sebulan dua sebelum PKP, Romi sempat membantu aku, dengan mengambil gambar seminar matematik ku.
Dia bantu dengan rela hati, tapi aku berikan juga saguhati.
Kini aku abadikan gambar itu dalam konten promo tuisyen online ku.
9. Pemergian ibunya
Pemergian ibunya pada 2015 betul-betul meninggalkan kesan paling dalam untuknya. Dia selalu mengadu sedih , dan rindu pada ibunya.
Alfatihah .
10. Audio Ini
Audio ini dirakam pada 2010, tapi entahlah sangat mengesankan aku.
Seolah-olah Romi sedang menyampaikan pesanan tatkala pemergiannya.
Al-fatihah.
Alfatihah
Terimakasih.
Thank you for posting this. We misseshim n his voice too..
Salam Aeney. Harap dipermudahkan urusan.
Al-fatihah kepada arwah.