Baiklah, kali ini aku akan menulis panjang lebar mengenai projek Tutor Baik ini — mengenai asalannya, kemunculannya kembali, dan perspektifnya dari semua segi.
Idea Asal
Hampir 10 tahun lalu, aku ada terfikir untuk buat agensi tutor, iaitu tempat berkumpul ibubapa (prospek) untuk mencari cikgu tuisyen (tutor) secara maya (online).
Jadi aku sebagai admin boleh meraih pendapatan melalui komisen. Inilah projek asal untuk Tutor Baik.
Ke hadapan 10 tahun seterusnya.
Tapi projek di atas tidak terlaksana, mungkin hati aku tak berapa terlalu minat untuk meraih komisen semata.
Niat Baharu
Dalam setahun dua ini, aku mempunyai niat untuk menghidupkannya kembali.
Tapi bukan sebagai agensi dan komisen, sebaliknya sebagai tempat aku bercerita mengenai asam garam, pengalaman dan panduan kerjaya sebagai tutor kepada tutor junior yang baru berjinak dalam karier ini.
Niatku ikhlas, tiada tujuan komersil (walaupun ada ajakan kecil menjadi ahli affiliate 😅).
Tapi ini juga terbantut — kerana tuntutan bisnes AZZ yang dambakan lebih perhatianku.
Bukan itu saja, malah ada masalah sasaran prospek. Sasaran Tutor Baik ini adalah untuk tutor, padahal aku ingin menjenamakan Akademi ZZ, di mana sasarannya adalah kepada ibubapa dan pelajar.
Inilah konflik sasaran.
Solusi : Gabungkan TutorBaik dengan Akademi ZZ!
Ini nampak jelas jika dipandang sekarang — tapi sebenarnya aku dapat ilham gabungan setelah aku struggle dalam membina konten, dan sekaligus menjenamakan AZZ ini.
Bercakap solo depan kamera bukan kegemaranku — dan aku tahu aku tak boleh bertahan lama, dan akan berhenti di pertengahan jalan.
Karya (konten) yang dibina separuh hati bukan sahaja menyeksakan (tidak seronok), malah penonton pun boleh rasa ini, sekaligus membantutkan rancangan pembinaan jenama.
Apa yang aku seronok lakukan?
Aku suka bertanya dan selalu ada rasa tahu (curiosity) yang kuat.
Meminjam idea Tutor Baik : bagaimana jika kita menemubual tutor lain (konten) untuk membantu prospek (ibubapa dan pelajar)? Mudah bukan?
Formulanya mudah, tapi sebenarnya banyak kerja harus dilakukan.
Walaupun aku berasa seronok sekarang (di permulaan), tiada jaminan aku akan terus disiplin meneruskannya — aku akan beritahu dari masa ke semasa.
Kenapa Aku Fikir Ini Idea Bernas?
Senarai di sini lebih kepada peringatan untuk diri sendiri sebenarnya, supaya aku terus istiqamah.
1. Tutor Baik adalah Misi
Sesuai dengan namanya, konsep Tutor Baik adalah bagaimana sekumpulan tutor memberi khidmat nasihat, tips belajar dan berkongsi pengalaman kepada ibubapa dan pelajar dalam menguruskan pembelajaran.
Gabungan tutor daripada pelbagai subjek akan memberikan nilai kepada mereka semua.
Aku berasa, paling kurang pun (katakan bisnes tidak perolehi apa-apa kelebihan), kita sebenarnya beri nilai tinggi kepada masyarakat. Itu saja pun sudah cukup kuat.
2. Membina Ukhuwah (Network)
Kelebihan seterusnya juga kuat: membina kenalan dan persahabatan antara tutor semua.
Karier sebagai tutor persendirian ini agak sunyi kerana berseorangan dalam kebanyakkan masa (melainkan cikgu sekolah).
Kita boleh gabungkan pemasaran bisnes juga: setiap cikgu-cikgu ini punyai audiens mereka yang tersendiri, dan di sini simbiosis (saling bantu-membantu) boleh berlaku.
Semua boleh menang.
3. Pembinaan Jenama Akademi ZZ
Sebagai bos AZZ, semestinya aku harus pastikan reputasi AZZ akan naik juga. Ini adalah teras utama mengapa Tutor Baik dihasilkan.
Aku akan sediakan link affiliate untuk tetamu, tapi terpulang pada mereka untuk guna atau tidak.
Aku akan pastikan tetamu Tutor Baik ini tidak berkonflik dengan AZZ (seperti mengajar subjek sama), supaya tidak mengganggu mana-mana bisnes.
4. Mencari “Black Swan” Positif
Sebenarnya sebarang konten pun boleh.
Tapi aku mahu ia seronok dihasilkan, seterusnya akan disiplin dan buat konten dengan kuantiti yang banyak — seterusnya dapat mencipta viral kecil.
Tak semesti viral di seluruh negara, tapi cukup untuk prospek sasaran — seperti ibubapa dan pelajar. Inilah maksud aku mencapai “Black Swan” positif.
5. Mencapai “Flywheel”
Ini konsep daripada penulis Jim Collins — setiap putaran (loop) itu akan membalas melancarkan putaran seterusnya.
Temubual tutor → manfaat → dapat temubual tutor yang hebat → bantu lebih ramai → naik lagi dan seterusnya.
Semestinya, masih jauh perjalanan ini, masih banyak kerja harus dilakukan — tapi at least aku seronok lakukan, dan ingat poin 1 tadi: ia beri manfaat kepada masyarakat.
Kesimpulan : Curiosity Aku Sendiri
Apapun, bahan api sebenar Temubual Tutor Baik ini adalah curiosity aku sendiri — perasaan ingin tahu mendalam mengenai cara pandang tutor lain.
Sebenarnya, aku bukan saja berhajat menemubual tutor semata, malahan juga ibubapa (anak cemerlang), serta tokoh akademik.
Nantikan siri pertama!





