Aku percaya, manusia mendambakan kebebasan masa, pada semua peringkat umur, bangsa, tahap kesihatan, ekonomi dan sosial.
Kebebasan masa adalah naluri setiap insan (atau setiap yang bernyawa ?).
Apa Maksud Kebebasan Masa ?
Ia bermaksud : kita mahu buat apa saja yang kita mahukan pada setiap masa itu tanpa halangan mana-mana pihak.
Contoh ; rehat, bermalasan menonton Netflix, menatap skrin gajet, bermain permainan video dan sebagainya.
Tapi tak semestinya perkara yang melalaikan (lagha), tapi boleh juga aktiviti berfaedah seperti berseni (melukis, hias taman, rakam muzik), luangkan masa bersama tersayang (ibubapa, saudara, sahabat), melancong ataupun apa saja yang menyenangkan hati kita.
Rangkumannya luas ; kekadang kita cemburu melihat kucing boleh tidur dan makan seharian tanpa perlu bekerja.
Kenyataan : Kebebasan Masa Tidak Datang Percuma
Sejak kecil lagi ; kita sudah tidak bebas masa ; harus ke tadika, sekolah, kolej dan akhirnya kerja.
Jika nasib baik, kita akan bebas masa pada usia 60-an, menikmati hasil simpanan dan tuaian sejak muda (seperti KWSP), sehinggalah dipanggil Illahi, yang tidak diketahui bila.
Poin di sini adalah, lahiriah manusia moden yang tidak bebas masa sehinggalah berusia emas.
Buat Bisnes : Boleh Bebas Masa Kah ?
Buat bisnes adalah salah satu cara untuk mencapai kebebasan masa, tapi bukan satu-satunya cara.
Cara lain, adalah mewarisi kekayaan, kahwin dengan orang kaya, ataupun yang paling popular ; bekerja dan melabur hingga ke usia emas (contoh di atas).
Tapi kali ini, kita tak mahu berbicara mengenai cara ini, kerana ia melibatkan pertukaran masa bekerja untuk meraih kebebasan masa di hari tua.
Kita mahu berbicang mengenai cara lain yang beretika : membina bisnes.
Bukan Untuk Semua Orang
Ya, saya faham, membina bisnes ini bukan untuk semua orang.
Bukan semua orang ada kemahiran mengurus bisnes ; katakan anda seorang chef, tak semestinya anda boleh menguruskan bisnes.
Saya cuma mahu mengingatkan pembaca ; objektif sebenar bisnes bukan untuk meraih wang semata, tapi untuk mencapai kebebasan masa.
Ini yang sebenarnya, semua orang mahukan.
Kesilapan Dalam Membina Bisnes
Benar, tujuan asal membina bisnes adalah untuk perbaiki tahap kewangan kita. Tapi lepas tu ?
Kita mahu perbesarkan lagi bisnes. Kita akan jadi lebih sibuk. Lebih banyak duit, dan lebih sibuk.
Dan kita lupa apa yang benar-benar kita dambakan ; masa.
Masa dengan famili. Masa bersama sahabat. Masa untuk. diri sendiri.
Kita buat duit, untuk lebih banyak duit.
Sepatutnya ; kita buat duit, untuk beli masa.
Bukan Bermaksud Ambil Remeh
Bukan bermaksud kita buat bisnes lepas tangan, tapi sebenarnya membina sistem.
Sistem ini yang akan bekerja 24 jam 7 hari seminggu untuk kita.
Bukan mudah membina sistem dan mengembangkan bisnes, tapi ini harus dijadikan aspirasi semua, demi mencapai bebas masa.
Saya sendiri masih dalam zon membina sistem yang boleh mengembang sendiri.
Memang sukar, kerana harus beradaptasi dengan pasaran, teknologi dan ekonomi semasa.
Jangan Jadi Pakar Satu Bidang Saja.
Kerana ini, untuk membina bisnes, kita tak boleh jadi pakar dalam satu bidang saja.
Contohnya, saya sebagai cikgu, tidak boleh hanya tahu mengajar saja.
Saya harus tahu merakam video, muat-naik video, bina laman web, pengiklanan media sosial, perakaunan dan banyak lagi.
Nampak macam banyak. Siapa kata buat bisnes ini mudah.
Tapi semua medium pembelajaran juga hanya di hujung jari saja. Yang berbayar ataupun percuma.
Mahu tidak mahu saja.
Kesimpulan
Tak mudah untuk mencapai bebas masa.
Buat bisnes pun susah, apatah lagi nak buat bisnes dan bebas masa.
Tapi inilah poinnya : jika kita buat bisnes, kita mesti mensasarkan bebas masa.
Bebas masa bermaksud anda berjaya membina sistem yang boleh bergerak sendiri tanpa campur tangan anda.
Fikirkanlah ; jika bisnes anda memerlukan anda untuk terus bergerak , bermakna ia akan gagal dan berhenti berfungsi tatkala anda tidak boleh bekerja lagi (masalah kesihatan contohnya).
Risiko kegagalan pada satu titik (single point of failure) adalah sangat besar.
Bebas masa adalah bukan mengenai kesejahteraan minda semata, tapi adalah untuk melenyapkan risiko ini .