Adik ku Cikgu Fariz Danial lah yang memperkenalkan aplikasi Classkick ini. Dah lama dia beritahu, dalam 2 – 3 tahun lepas.
Tapi aku langsung tak pakai untuk Akademi ZZ kerana merasakan ia tidak sesuai dalam kelas yang ramai.
Apa itu Classkick ?
Ia adalah aplikasi dari US yang membolehkan pelajar buat latihan dalam skrin DAN cikgu boleh periksa dalam masa sebenar (real-time).
Kerana itu aku tak pakai dalam AZZ – kerana ia akan makan masa cikgu untuk memeriksa kerja setiap murid, dan ini akan mengganggu perjalanan kelas.
Tapi jika kelas kecil, kurang 10 pelajar, ia mungkin sesuai. Tapi kelas AZZ adalah seramai 30 – 40 pelajar ; jenuh cikgu nak periksa kerja setiap murid, dan ini memang tidak sesuai.
Kenapa aku teruja sekarang ?
Kerana kini aku bercadang untuk kembali mengajar kelas personal secara online!
1 – Memudahkan pembelajaran
Dengan dapat melihat hasil kerja pelajar, lebih mudah untuk kita betulkan ‘real-time’ jika ada kesilapan, ataupun dapat ‘tanda tick’ secara langsung, jika jawapan betul.
Tak perlulah lagi pelajar menjawab dengan lisan – cikgu pun tak perlu agak-agak di mana tempat yang pelajar tak tangkap.
2 – Tidak memenatkan
Tanpa Classkick, aku sebagai tutor ‘penat’ bercakap tentang jalan kerja, tanpa melihat pun hasil kerja pelajar.
Kita pun takkan tahu adakah pelajar betul-betul faham – atau iya kan saja cadangan jawapan kita.
3 – Boleh buat lebih banyak kelas !
Oleh kerana tidak penat serta lebih berkesan, aku boleh buat lebih banyak kelas, menjadikan ini karier baru aku ; tutor personal matematik online.
Sejajar dengan permintaan pasaran kepada golongan yang mampu dan berkehendakkan tuisyen personal ini.
Nota Tambahan
1 – Tidak lebih daripada 3 kelas sehari
Walaupun berasa kita boleh buat lebih banyak kelas – hakikatnya sekarang aku juga bekerja sebagai admin AZZ juga membataskan waktu aku sebagai tutor.
2 – Penat juga duduk terlalu lama
Mengajar online ini, harus duduk dalam berjam-jam juga, dan boleh menimbulkan kebosanan juga.
Mungkin harus beli meja elektrik yang boleh naik-turun itu, supaya kita boleh berdiri ketika kelas online ini.
Iyalah, mengajar tanpa interaksi bersemuka ini memang mencabar.
3 – Fokus utama adalah memajukan AZZ
Kerja sebagai tutor ini adalah untuk mengurangkan gaji pengarah, supaya tidak membebankan syarikat.
Insyallah, apabila margin kembali sihat – barulah aku akan kembali berhenti menjadi tutor, dan fokus kepada pembangunan syarikat.
Tapi sebenarnya, masih teruja dan syok juga menjadi tutor ini – apatah lagi mengajar AddMath.